Format Borak Kelamin

Borak Kelamin terbitan bersama ASTRO dan Nu Ideaktiv.[4] Rancangan ini mengetengahkan topik perbincangan merangkumi kupasan ilmiah yang komprehensif oleh barisan panel pakar perunding jemputan daripada pelbagai bidang pengkhususan berdasarkan tema mingguan seperti pakar motivasi, perunding psikologi, kaunselor perkahwinan, penceramah dan sebagainya.[1]

Tetamu istimewa yang terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air turut dijemput khas untuk berkongsi pengalaman peribadi sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama pasangan atau bekas pasangan secara terbuka dan profesional dalam sesi perbincangan setiap episod.[1]

Borak Kelamin diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas kerana mengandungi unsur dan aspek kedewasaan yang tidak keterlaluan dalam sesi perbincangan.[4] Pengurus saluran Astro Ria, Emarina Kamal dalam satu sidang media berkata, hal berkaitan dengan ‘cerita dalam kain’ dalam sesebuah institusi perkahwinan ialah subjek pantang larang yang kurang dibicarakan secara terbuka terutamanya di televisyen serta sering dielakkan bagi menjaga aib dan sensitiviti masyarakat.[6][7] Katanya: “Walaupun topik yang bakal diketengahkan agak panas dan boleh mengundang kontroversi, namun ia tidaklah keterlaluan dan masih sesuai dengan resam masyarakat Malaysia. Kami percaya tahap penerimaan penonton masa kini sudah semakin matang dan tahu menilai mesej di sebalik keseluruhan konteks kandungan yang ingin disampaikan".[5]